21 June, 2008

APA AKAN JADI BERMULA ISNIN INI?

Macam-macam boleh berlaku pada hari Isnin ini. Yang pasti usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri akan dikemukakan di dalam Parlimen walaupun ada kekangan yang sangat hebat untuk berbuat demikian.

Keadaan dalam negara sekarang kelihatan agak kelam-kabut dan menimbulkan rasa panik bukan sahaja ahli-ahli politik malah kesannya turut dirasakan oleh golongan peniaga.

Ada pihak meramalkan 30 Ahli Parlimen BN akan lompat parti ke Pakatan Rakyat. Tetapi bagaimana kalau 30 MP berkenaan tidak berbuat demikian tetapi bertindak sebaliknya?

Bagaimana kalau usul undi tidak percaya kepada Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri berjaya dikemukakan di Parlimen dan 30 Ahli Parlimen BN tidak hadir? Tak payah lompat parti pun boleh mengguncang kedudukan Pak Lah sebagai PM.

Dan yang paling dinantikan sudah pasti Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan AGONG (YDPA). Siapakah calon PM baru yang sesuai bagi menggantikan Pak Lah mengikut pertimbangan YDPA? Datuk Seri Najib sudah tentu bukan dalam senarai.

Banyak juga orang meramalkan Tengku Razaligh yang akan diberi ruang menjadi Perdana Menteri yang baru.

Tetapi kalau 30 Ahli Parlimen BN lompat parti ke Pakatan Rakyat, bermakna impian Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri akan menjadi kenyataan.

Sebenarnya, macam-macam boleh berlaku jika undi tidak percaya terhadap PM itu berjaya dilaksanakan. Boleh jadi aman, boleh jadi huru-hara, kalau tersilap percaturan!


Presiden dan MT UMNO Boleh Dilucutkan Jawatan Pada Bila-bila Masa


Oleh: DR NOVANDRI HASAN BASRI

Perlembagaan UMNO, Fasal 9 (perenggan 12)

9.12 Jawatan Ahli-ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden boleh dilucutkan atau Majlis Tertinggi dibubarkan oleh Perhimpunan Agung Khas dengan undian tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli yang berhak hadir.

Ini bermakna, jika bilangannya mencukupi, ahli-ahli UMNO melalui cawangan UMNO dan bahagian UMNO masing-masing, boleh meminta di adakan Perhimpunan Khas pada bila-bila masa sahaja dan berhak melucutkan sesiapa sahaja di dalam MT UMNO.

Terus terang dikatakan, penulis tidak tahu sebelum ini dan tentunya ramai pembaca sekalian pun tidak tahu atau tidak di beritahu sebelum ini.
Mungkin kerana selama ini, kita mengganggap bahawa Perlembagaan UMNO terlalu teknikal dan untuk bacaan mereka yang bekerja sebagai hakim sahaja.

Yang kita tahu ialah mengenai desas-desus Perhimpunan Khas (EGM) yang tujuannya ialah untuk membincangkan pemansuhan kuota untuk pencalonan kepimpinan tertinggi UMNO. Itu sahaja.

Dan tidak ada sesiapa pun yang sebenarnya telah membincangkan kewujudan klaus di dalam Perlembagaan UMNO yang membolehkan Presiden, Timbalan Presiden dan seluruh MT UMNO dilucutkan oleh ahli-ahli akar umbi!

Seperkara lagi, berapa negerikah di Malaysia ini yang telah menjalankan konvensyen UMNO masing-masing?

Jawapannya mudah iaitu TIDAK ADA atau JARANG SEKALI.

Menurut Perlembagaan UMNO, Fasa 12 (perenggan 10)

12.10 Badan Perhubungan hendaklah mengadakan konvensyen di peringkat Negeri dan Wilayah Persekutuan sekurang-kurangnya sekali setahun mengandungi wakil-wakil daripada Bahagian-bahagian. Majlis Tertinggi UMNO berkuasa menentukan syarat-syarat dan lain-lain perkara berhubung dengan Konvensyen itu.

Sejak PRU-12, Pulau Pinang tidak pernah lagi mengadakan konvensyen sedemikian rupa. Penulis tidak berapa pasti sama ada negeri-negeri lain telah menjalankan konvensyen UMNO masing-masing, selepas PRU-12 atau pun pada tiap-tiap tahun seperti yang dicatitkan di dalam Perlembagaan UMNO.

Kenapa tidak dijalankan tiap-tiap tahun seperti yang dikehendaki di perlembagaan UMNO?

Mungkin MT UMNO tidak membenarkan konvensyen tersebut kerana MT UMNO berkuasa menentukan syarat-syarat dan lain-lain perkara berhubung konvensyen itu, tetapi jika ianya benar, ia menunjukkan sikap kepimpinan tertinggi UMNO yang tidak peduli pandangan ahli-ahli dari akar-umbi.

Jika MT UMNO tidak melarang, kenapa pula perhubungan negeri UMNO tidak menjalankan konvensyen tersebut?

Kesimpulannya, jika setiap ahli UMNO bertindak secara sistematik, terancang serta menggunapakai Perlembagaan UMNO, segala kekusutan di dalam UMNO boleh diselesaikan oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri.

Dan bukannya terpaksa berdebar-debar menunggu keputusan daripada dua orang dan juga tarikh yang tidak pernah kunjung tiba!

No comments: