07 July, 2008

KENAPA TIADA RUSUHAN?

Awal pagi ni kawan hantar sms kepada saya: "Tak ada apa-apa pun yang berlaku semalam!" Jawapan saya mudah - baguslah tak berlaku. Saya lebih suka ia tidak berlaku.

Saya hendak beritahu anda, semalam tahap keselamatan negara adalah yang paling mencabar. Kalau tidak masakan 1 batalion anggota tentera (ATM) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk 'monitoring' hari semalam.

Lihat petikan berita yang disiarkan pada hari Jumaat, 4 Julai lalu:

ATM tetap fokus ancaman luar

GEMAS 3 Julai – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan sesekali mencampuri soal keselamatan domestik, kecuali apabila diminta oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata, menurut undang-undang negara ketenteraman awam adalah tanggungjawab PDRM dan ia kekal sebegitu.

"Tugas utama kami (ATM) adalah untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara daripada ancaman luar.

"Bagaimanapun jika PDRM meminta bantuan ATM dalam hal ketenteraman awam dan ia diluluskan oleh KDN, kami bersedia menggunakan kekerasan paling minimum selaras dengan undang-undang sedia ada," katanya selepas menyaksikan Demonstrasi Kuasa Tembakan 2008 di sini hari ini.

Muhammad Ismail berkata demikian bagi menjelaskan tentang Eksesais Bersatu Aman, yang pertama kalinya diadakan secara bersama oleh ATM dan PDRM di Kuala Lumpur, semalam.

Berita di atas menunjukkan memang terdapatnya ancaman dari pihak luar. Kalau tidak ada ancaman, masakan ATM menjalankan latihan bersama PDRM yang mana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini. Berita itu hendak beritahu kepada kita semua bahawa memang wujud ancaman luar.

Tulisan bekas wartawan, Ruhanie Ahmad dalam blognya kuda-kepang.blogspot.com juga menyentuh tentang kewujudan pengaruh luar. Baca dengan teliti:

YA ALLAH SELAMATKANLAH
TANAHAIR KAMI KETIKA INI..

Sekumpulan rakyat jelata dijangka berhimpun di Stadium Kelana Jaya, Selangor, pada Ahad 6 Julai 2008, untuk memprotes kenaikan harga minyak.

Tiada siapa dapat menganggarkan jumlah sebenar yang akan hadir di perhimpunan berkenaan. Tetapi, sesuatu perhimpunan yang berlatarbelakangkan suasana politik mutakhir ini mungkin boleh bertukar jadi suatu perhimpunan yang membimbangkan semua pihak.

Lebih-lebih lagi bila kini terdapat sekumpulan hampir 5,000 orang “tetamu” yang diundang khas oleh sesetengah pihak untuk sama-sama “memeriahkan” perhimpunan berkenaan.

Para “tetamu” tersebut dijangka menghadiri perhimpunan di atas untuk “menyemarakkan” suasana supaya jadi lebih panas dan menggelegak.

Banyak pihak sudah mengetahui akan kehadiran “tetamu” ini. Jangan siapa cuba nafikan, jangan siapa cuba tutup kebenarannya.

Soalnya, siapakah yang mengundang para “tetamu” ini? Siapakah tuan rumah mereka? Siapakah yang membiayai mereka? Dan, adakah pihak berkuasa keselamatan kita mengetahui kehadiran mereka?

Oleh itu, wajar kita imbas semula kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Kuala Lumpur pada 3 Julai 2008, mengenai keselamatan negara seperti berikut:

"Keadaan negara adalah aman dan selamat dan rakyat tidak perlu bimbang dan percaya dengan khabar angin yang mendakwa negara kini dalam keadaan darurat. Keadaan ekonomi dan keselamatan negara juga dalam keadaan terkawal dan rakyat tidak sepatutnya terlampau teruja dengan apa yang berlaku di negara pada masa ini. Negara tidak berada dalam keadaan darurat. Kerajaan ini sebuah kerajaan yang stabil, percayalah.”

Kita kena percayakan kenyataan Abdullah di atas. Tapi, kita kena juga tanya beliau, benarkah kini terdapat hampir 5,000 “tetamu” yang diundang khas untuk “menyemarakkan” perhimpunan rakyat di Stadium Kelana Jaya, Selangor, pada 6 Julai 2008? Adakah Abdullah tahu akan hal ini? Adakah Abdullah memberikan restu kepada undangan “tetamu” ini?

Kita juga kena tanya Abdullah, mengapakah pada 2 Julai 2008, Bernama melaporkan bahawa “Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) buat julung kalinya melancarkan latihan bersama bagi mengatasi masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara.”

Apakah “masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara” yang mahu ditangani secara bersama oleh PDRM dan ATM dalam tempoh terdekat ini?

Adakah para “tetamu khas” yang dijangka turut “menyemarakkan” suasana di Stadium Kelana Jaya pada 7 Julai 2008 akan mencetuskan “masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara” yang perlu ditangani oleh PDRM dan ATM?

Kenapa rusuhan tidak berlaku?

Jawapnya kerana anggota keselamatan kita telah dapat mematahkan pergerakan 'musuh'. Seharusnya kita berterima kasih kepada para "intelligent" khususnya dari ATM kerana telah dapat berjaya menyekat pergerakan.

Perpindahan lokasi perhimpunan telah ditukar dari Padang Timur, Petaling Jaya ke Stadium MPPJ Kelana Jaya merupakan salah satu strategi untuk menyukarkan pelaksanaan strategi pihak lawan.

Yang lebih penting, mungkin ramai orang tidak sedar apabila berada di dalam Stadium MPPJ bahawa sistem komunikasi telah dikawal dengan rapi. Sebarang keluar masuk incoming call atau out coming call telah dikawal. Sudah tentu ini menyukarkan pihak tertentu untuk bertindak dan melakukan provokasi.

Saya ada menghantar dua orang kawan ke dalam stadium berkenaan. Mereka mengadu tidak dapat buat panggilan ke luar. Bila mereka berdua keluar dari stadium, baru mereka berjaya membuat penggilan.

Sebelah petangnya saya cuba menghubungi mereka berdua. Memang dapat, tetapi terasa ada kelainan seperti ada gangguan gelombang.

Pihak 'musuh' sebenarnya sudah dapat menghidu 'sekatan komunikasi tersebut' lalu terpaksa memikirkan strategi lain. Sehingga tengah malam, mereka tidak berani berbuat demikian kerana kawalan terlalu ketat. Inilah rahsia kejayaan para "intelligent" kita.

Saya pun tidak sangka bahawa 'intelligent' kita cukup hebat, bahkan lebih hebat daripada 'intelligent' luar.

Tetapi tidak berlaku semalam tidak bermakna tidak berlaku di masa akan datang. Pihak musuh akan menunggu masanya yang sesuai iaitu di saat kelekaan.

No comments: