17 July, 2008

Komplot matikan karier politik Abdullah, Anwar?

Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato' Mustafa Ali menyifatkan seolah-olah wujudnya satu komplot dalam Umno dan kerajaan yang dilihat cuba untuk mematikan karier politik Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Kata Mustafa secara lojiknya adalah apabila tindakan dibuat terhadap Anwar maka kelemahan dan kesalahan akan dituding kepada Abdullah selaku Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan.

Berdasarkan maklumat yang beliau ada, selepas pertemuan antara isteri Anwar, Dato' Seri Dr Wan Azizah Ismail dengan Abdullah baru-baru ini, ia menunjukkan Abdullah tidak terlibat dalam apa-apa tindakan terhadap Anwar.

"Komplot yang ada nampaknya bertujuan untuk mematikan kedua-duanya sekali. Matikan karier politik Anwar dan matikan juga karier politik Abdullah. Menggunakan seketul batu untuk membunuh dua ekor burung serentak.

"Mengikut bacaan saya, tindakan ini berjaya diambil kerana kegagalan Abdullah sendiri untuk menguasai seluruh jentera kerajaan. Oleh kerana itulah, komplot ini boleh berjalan sedemikian rupa.

"Tindakan ini sebenarnya satu tindakan yang sangat bahaya kepada negara dari sudut keselamatan dan juga keharmonian negara," katanya dalam blog peribadinya.

Kata Mustafa oleh kerana implikasinya besar, satu mekanisma perlu dibuat oleh Abdullah selaku Perdana Menteri supaya ia dapat meredakan suasana yang ada sekarang.

Apa yang boleh dibuat oleh Abdullah adalah dengan menubuhkan satu suruhanjaya bebas untuk membuat siasatan terhadap tuduhan yang dibuat ke atas Anwar supaya rakyat yakin tuduhan itu bukan bermotifkan politik tetapi mencari keadilan untuk semua pihak.

"Tanpa suruhanjaya sebegini rakyat tidak akan yakin dengan sebarang tindakan kerajaan." kata Mustafa yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Sumber: Harakahdaily.net

No comments: