17 September, 2008

Macam-macam kemungkinan boleh berlaku ...

BERITA menarik hari ini pastilah mengenai pertukaran portfolio Kementerian Pertahananan dengan Kementerian Kewangan. Pak Lah ambil portfolio Najib. Najib pula ambil portfolio Pak Lah. Tak tahulah, sama ada mereka berdua berpakat untuk tukar suka sama suka atau barangkali Pak Lah tak percaya kepada Najib yang memegang portfolio yang paling penting yang boleh digunakan untuk tujuan tertentu.

Seorang bloggers, Ruhanie Ahmad, dalam blognya berkata: "Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melakukan satu tindakan yang cukup aneh dan menimbulkan banyak spekulasi – menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi mengambil pula jawatan Menteri Pertahanan daripada Najib."

Tindakan itu, katanya, tidak pernah berlaku di negara ini sebelum ini. Sebab itulah ia menimbulkan tandatanya. Antaranya adalah seperti berikut:

Satu: Kenapakah serahkan portfolio kewangan kepada Najib sewaktu dunia di ambang kemelesetan ekonomi yang dahsyat? Adakah kerana Abdullah tidak mampu menangani kemelesetan ekonomi yang akan tiba dan mahu Najib menangani segala-galanya?

Dua: Kenapakah ambil portfolio pertahanan negara di waktu politik negara dalam keadaan kurang mantap? Adakah ini bermakna Abdullah mahu menggunakan ketenteraan untuk menangani sesuatu kemungkinan. Adakah ini untuk menafikan Najib daripada mendapat akses kepada sebarang maklumat keselamatan dan perisikan negara yang lazimnya dalam kawalan polis dan tentera? Adakah tindakan ini akan digandingi dengan pelbagai tindakan sinister?

"Berasaskan perkembangan di atas, rakyat jelata perlu berwaspada, sensitif dan prihatin terhadap lain-lain perkembangan di sekeliling mereka. Ini kerana tindakan Abdullah di atas adalah aneh, luarbiasa, menimbulkan syak wasangka dan mengundang pelbagai tandatanya. Ia juga menimbulkan anxieties dan uncertainties," kata bekas wartawan ini menerusi blognya, kuda-kepang.blogspot.com.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar pula berkata, terdapat kebimbangan dengan tindakan Abdullah mengambil portfolio pertahanan dari Najib kerana ini katanya mungkin untuk mempergunakan kementerian itu sebagai talian hayatnya.

"Saya bimbang dengan kedudukan Abdullah di Pertahanan yang memungkinkan penggunaan tentera jika keadaan mendesak tatkala mereka juga bimbang dengan senario perubahan kerajaan yang diusahakan Pakatan Rakyat," kata Mahfuz yang dipetik dari sumber harakahdaily.net.

Walaupun pada 16 September perubahan tidak berlaku, tetapi Abdullah sendiri bimbang dengan sebarang kemungkinan dalam masa terdekat bahawa perubahan itu akan berlaku juga, kata Mahfuz.

Sementara itu, dalam berita hari ini juga, Pak Lah berkata, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah menjadi satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara. Perdana Menteri berkata tindak tanduk Anwar selama ini bukan saja menjejaskan kestabilan politik tetapi juga kestabilan ekonomi. .

Kenyataan ini nampak seolah-olah seperti satu amaran kepada Anwar Ibrahim. Bunyinya semacam hendak mengambil tindakan 'keras' terhadap Perdana Menteri 'Ilusi' itu.

Tidak ada tindakan lain yang boleh membendung Anwar melainkan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Anwar hanya boleh disekat hanya melalui ISA dan juga darurat.

Kenapa Anwar nak cepat sangat ambil alih kerajaan?

Mengikut cakap-cakap sahabat-sahabat dalam politik UMNO ada membayangkan (konfiden) bahawa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dalam masa terdekat, iaitu selewat-lewatnya pada penghujung bulan Oktober 2008 ini.

"Pak Lah telah dapat banyak feedback daripada penyokongnya sendiri yang beliau tidak disenangi oleh lebih dua pertiga ahli-ahli UMNO sendiri dan lebih setengah orang-orang Melayu di luar UMNO," kata seorang forumers yang dipetik dari blog mykmu.net.

Kalau diperhatikan, mood rakyat sekarang sangat meluat dengan tindak-tanduk Pak Lah. Sentimen kemarahan yang meluap-luap ini digunakan Anwar untuk memenuhi cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Sekiranya Pak Lah letak jawatan, sedikit sebanyak sokongan kepada UMNO akan beransur-ansur pulih dan sempat untuk diselamatkan sebelum Pilihanraya umum (PRU) akan datang. Peluang Anwar jadi Perdana Menteri ke-6 amat tipis.

Kekalahan BN pada PRU, 8 Mac lalu yang menyebabkan BN tewas di 5 negeri adalah disebabkan orang-orang UMNO, MCA, MIC dan Gerakan mengundi apa juga calon PKR disebabkan rasa benci terhadap Pak Lah.

Sekiranya Pak Lah letak jawatan dan digantikan dengan pemimpin yang lebih berwibawa, tegas menangani ancaman dari kaum bukan Melayu, sudah pasti akan meredakan sedikit sebanyak kemarahan yang meluap-luap di hati pengundi-pengundi BN yang mengundi Pakatan Rakyat pada PRU sebelum ini.

Apakah yang akan berlaku selepas ini?

Macam-macam kemungkinan boleh berlaku.

Anwar Ibrahim dikenakan ISA. Implikasinya. Apabila ketua telah kena tangkap dan di'ISA'kan, maka susah hendak anak-anak buah melakukan gerakan 'merampas' kuasa termasuk mereka yang dari BN sukar hendak melompat. Yang sudah melompat 31 orang (ikut kata Anwar) akan senyap begitu sahaja.

Dari segi pengikut Anwar yang fanatik. Sudah pasti mereka akan berasa marah yang teramat sangat. Mereka akan kata kerajaan 'zalim', kerajaan 'penakut' dan bermacam-macam lagi. Mungkin diadakan demonstrasi secara 'besar-besaran'. Cara ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu membuat 'provokasi' supaya pengikut-pengikut Anwar yang fanatik membuat rusuhan.
Dalam keadaan isu perkauman yang semakin kuat dimainkan, pergaduhan kaum boleh berlaku dengan mudah.

Apabila 'demonstrasi' yang tidak terkawal berlaku, berkemungkinan kuasa 'mageran' akan digunakan.

Sebenarnya, dua pihak yang berasa bimbang apabila darurat benar-benar berlaku.

Pertama: Anwar Ibrahim akan menangis.
Kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri dengan cara yang cepat tidak kesampaian. Anwar begitu bimbang kalau berlakunya 'darurat'. Inilah kelemahan Anwar Ibrahim, dia sudah memberitahu kelemahannya kepada umum. Ini memudahkan 'ejen-ejen' perisikan melaksanakan tugas selepas ini.

Kedua: Pak Lah dipaksa letak jawatan.
Sejarah darurat yang lalu akibat peristiwa 13 Mei menyebabkan pertukaran secara paksa dilakukan di mana Tungku Abdul Rahman terpaksa melepaskan jawatan dan diserahkan kepada Tun Abdul Razak. Apabila ada rusuhan 13 Mei menunjukkan Tungku tidak mampu mengawal keadaan hingga berlakunya darurat. Sama juga cerita sekarang, apabila darurat berlaku, ini menunjukkan ketidakmampuan Pak Lah menangani masalah hingga tercetusnya 'darurat'.

Bubar Parlimen
Ini juga satu kemungkinan boleh berlaku.

No comments: