18 September, 2008

Tengku Razaleigh Hamzah Bakal PM ke-6?

Majlis Tertinggi UMNO telah menasihati Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) bersara secara sukarela, segera dan terhormat. Jika tidak, kemungkinan besar Pak Lah akan disingkirkan oleh majoriti bahagian UMNO yang memulakan perwakilan bahagian masing-masing pada 10 Oktober 2008.

Lantaran itu, Pak Lah dijangka mengumumkan tarikh persaraannya daripada siasah dan kerajaan dalam masa terdekat ini selewat-lewatnya pada 9 Oktober 2008.

Nasihat di atas telah disampaikan oleh Majlis Tertinggi UMNO kepada Pak Lah dalam mesyuaratnya pada hari semalam, 18 September 2008.

Ini kerana persidangan perwakilan UMNO bahagian kali ini akan menamakan calon-calon pucuk pimpinan tertinggi parti yang akan dipertandingkan pada Disember 2008.

Jika Pak Lah enggan berundur, beliau dijangka menghadapi risiko tidak memperolehi kuota secukupnya untuk mempertahankan kerusi Presiden UMNO yang disandangnya ketika ini.

Terdapat cakap-cakap yang mengatakan nama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) akan dipilih dan dipersetujui oleh ahli-ahli UMNO untuk menerajui kepimpinan negara sekaligus mengambil alih jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-enam.

Pertandingan yang dijangka diadakan tidak lama lagi itu menyaksikan Ku Li akan berhadapan dengan Pak Lah yang mana 65% ahli-ahli UMNO di seluruh Malaysia akan memberi sokongan terhadap Ku Li.

Jika ini benar-benar berlaku, apa yang diramalkan sebagai teori RAHMAN akan bertukar kepada teori baru pula iaitu teori RAHMAT.

Inilah sebabnya kenapa Anwar Ibrahim beriya-iya sangat nak jadi Perdana Menteri. Sebabnya kerana tak lama lagi Pak Lah akan bersara lebih awal dari yang dijangkakan Pak oleh Lah sendiri . Apabila peralihan kuasa sebenar berlaku, ia sekaligus memadamkan peralihan kuasa yang dicanangkan oleh Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Orang-orang UMNO 'dah tak marah lagi kepada parti UMNO kerana mereka mendapat kepimpinan yang baru. Orang-orang UMNO yang menyokong Anwar akan kembali sokong kepada parti mereka sendiri, bukan parti lawan. Selama ini mereka sokong Anwar kerana mereka 'meluat' dengan Pak Lah.

Apa pun ini masih juga dikategorikan sebagai ramalan kerana tidak semestinya apa yang dirancang boleh menjadi kenyataan. Buktinya, Anwar Ibrahim sendiri merancang 16 September akan mengambil alih pentadbiran pusat. Tetapi di luar pemikiran Anwar, 51 ahli Parlimen Malaysia telah dibawa lari ke Taiwan kononnya untuk tujuan lawatan sambil belajar.

Jika Anwar ada rancangan, pimpinan UMNO juga ada rancangannya tersendiri. Inilah namanya perang. Pihak yang cepat bertindak dan bijak mengatur strategi, pihak itulah yang akan menang.

Sekarang, UMNO merangcang untuk menukar kepimpinan dengan seberapa cepat yang boleh iaitu sebelum Parlimen dibuka semula pada 13 Oktober ini. Jika Pak Lah meletak jawatan sebelum 13 Oktober ni, nescaya parti UMNO tidak 'karam', ditenggelamkan oleh Anwar Ibrahim dan konco-konconya.

Jika Pak Lah berdegil untuk tidak mahu melepaskan jawatan PM, persidangan Parlimen yang bermula 13 Oktober ini akan menyaksikan adanya usul undi tidak percaya yang tidak boleh disekat lagi. Kalau sebelum ini usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Pak Lah sebagai Perdana Menteri berjaya 'disekat' oleh speaker Dewan Undangan Negeri pada sidang Parlimen sebelum ini, sidang Parlimen yang akan datang, desakannya tidak dapat dipertahankan lagi.

Jika usul undi tidak percaya berjaya dilaksanakan di sidang Parlimen akan datang, berkemungkinan besar Anwar akan menang dengan strateginya yang mana beberapa ahli Parlimen BN khususnya Sabah dan Sarawak seperti yang digembar-gemburkan akan memainkan peranan menyokong usul berkenaan. Sebab itulah Pak Lah kena letak jawatan sebelum Parlimen bersidang.

Jika tidak letak jawatan, berkemungkinan pilihan raya umum akan diadakan semula ataupun perintah 'mageran' dikuatkuasakan yang mana pihak Tentera akan mengambil alih untuk sementara waktu. Adakah Pak Lah memberikan laluan kepada Anwar Ibrahim. Sama-sama kita menonton 'drama' tanahair yang terhebat dalam sejarah masa kini.

Berhubung artikel bertajuk "Parlimen dibubarkan, Agong dah tandatangani", laman ini terpaksa memadamkan 'posting' berkenaan atas sebab-sebab keselamatan. Ianya masih tidak disahkan lagi berita berkenaan. Tetapi yang peliknya, pihak istana hingga setakat ini masih belum lagi menafikan khabar-khabar angin tersebut. Pihak istana perlu menafikan berita tersebut bagi meredakan keadaan.

No comments: