27 August, 2008

Abdullah-Anwar saling membantu – satu pengesahan?

Oleh: Nihaz Mohd Yusoff

Di Penanti dan Permatang Pasir, siri ceramah kempen pembangkang diakui penuh sesak dengan hadirin. Sesiapa yang melewati simpang lampu isyarat untuk memasuki Kubang Semang pasti merasai 'azabnya'. Kubang Semang menjadi markas utama PKR dengan segala 'kepakaran' hujah dan satira dihamburkan dengan 'semuanya salah kerajaan'. Sebutlah apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan malah sambutan terhadap pemenang pingat perak Olimpik, Lee Chong Wei di gelanggang bola keranjang, Jalan Tenggiri, Seberang Jaya tempoh hari turut dipolitikkan” - Utusan Malaysia (27 Ogos 2008) -.



Demikian petikan dari Utusan Malaysia hari ini yang menggambarkan betapa pihak Pakatan Rakyat mengkritik, mengutuk, mencaci dan membangkang apa sahaja yang dibuat oleh Barisan Nasional dalam usaha mereka meraih sokongan.

Ini bukan perkara baru, kerana selama ini juga pembangkang di Malaysia akan berbuat yang sama terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan Barisan Nasional seolah-olah tiada satu pun kebaikan atau jasa Parti ini kepada negara yang aman makmur dan dihormati dunia sebelum pemerintahan Abdullah Badawi.

Bukan sukar untuk mengkritik, mengutuk, mencaci dan membangkang sesuatu yang salah. Malah, hari ini Raja Petra Kamaruddin juga telah berjaya membuktikan bahawa mengkritik, mengutuk, mencaci dan membangkang sesuatu yang tidak salah juga semakin mudah. Yang perlu hanyalah menulis skrip lalu membuat akuan bersumpah – mudah dan murah juga.

Setelah sepuluh tahun terlibat dalam debat siber dengan pembangkang, penulis sudah faham benar tentang sifat pembangkang ini. Kerana itulah penulis kuat merasakan ada yang tidak kena dengan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang dan kerajaan beberapa tahun terakhir ini. Terutamanya setelah melihat bagaimana pembangkang melalui saat penting yang mampu menentukan kedudukan pemimpin agung mereka di persada politik tanahair, iaitu PRK Permatang Pauh.

Ada suatu yang tidak kena apabila dalam keghairahan mereka mengkritik, mengutuk, mencaci dan membangkang apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan kerajaan, mereka tidak pula mengutuk, mengkritik, mencaci atau membangkang Abdullah Badawi, anak-anak dan rakan-rakannya. Sedangkan fakta mengenai kesalahan Abdullah Badawi ini begitu terang lagi disuluh oleh penyokong Barisan Nasional sendiri.

Jika kesalahan Abdullah Badawi dijadikan senjata, penulis pasti Anwar mampu mendapat undi yang lebih lagi dalam PRK Permatang Pauh tetapi Anwar samada tidak berani atau tidak mahu menjentik pun Perdana Menteri yang lemah ini. Kenapa?

Apakah ini mengesahkan pendapat penulis mengenai adanya pakatan/perjanjian paksa-rela Abdullah-Anwar?


Bukti apakah mengenai Anwar yang dipegang oleh Abdullah sehingga Anwar tidak berani menyerangnya?

Dan, apakah ini mengesahkan teori penulis bahawa atas arahan Amerika Syarikat, Abdullah perlu bertahan sehingga Anwar cukup kuat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan?

Setakat ini, kelihatannya, Abdullah hanya mampu membuka jalan untuk Anwar. Dia tidak dapat berbuat lebih dari itu atau dia akan mula disyaki dan mungkin juga diundurkan sebelum masanya oleh UMNO. Maka Anwar perlu mencari jalan sendiri untuk naik ke atas. Jika Anwar berjaya, maka Abdullah bolehlah bersara dengan aman.

Jika sebaliknya, maka bersedialah dengan campurtangan Amerika dalam perundangan Malaysia – samada secara langsung iaitu dengan memberi arahan kepada Abdullah Badawi untuk memanipulasi sistem kehakiman yang kini telah di’miliki’ oleh pihak tertentu.

Atau secara tidak langsung iaitu dengan mencetuskan darurat melalui rusuhan oleh penyokong Anwar sehingga kerajaan digulingkan. Ia mungkin akan menjadi peristiwa berdarah di Malaysia kerana Anwar tidak pernah peduli jika penyokongnya mati kerananya.

Ini adalah teori yang menyedihkan dan malangnya, kita tidak mungkin dapat mengesahkan teori ini, sekurang-kurangnya sehingga keadaan sudah benar-benar terlambat.

Kepada pemimpin UMNO, selamat menunggu dan melihat dan menyesal kemudian jika semua ini benar. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kamu kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai pemimpin kepada bangsa Melayu.

Dipetik dari sumber: Berita KMU

No comments: