21 June, 2008

ABDULLAH-ANWAR SALING MEMBANTU? - Siri 2


oleh: Nihaz Mohd Yusoff

Teori yang penulis kemukakan dalam artikel pertama dengan tajuk di atas telah disanggah oleh sesetengah pihak. Namun, terdapat ramai juga yang berpandangan sama dengan penulis. Sehingga ke saat ini, kelihatannya tiada tanda jelas bahawa pandangan penulis itu silap. Apalagi ramai yang mengakui tidak pernah sekalipun mendengar Anwar mengkritik Abdullah, sebaliknya sasarannya ialah Najib dan Tun Dr Mahathir sahaja.

Kerana itu, penulis ingin menyeru semua MT serta semua Ketua yang ada di dalam UMNO dan Parti Komponen BN agar memikirkan perkara ini dengan lebih serious. Sekiranya pemimpin dan rakyat negara lain yang berada di tempat kita, penulis rasa, mereka sudah pun panik.

Tetapi, kita masih lagi mengambil sikap tidak mungkin, tidak apa serta ingin tunggu dan lihat sedikit lagi. Sikap tidak pro-aktif, tidak mahu berfikir di luar kotak, tidak mahu melihat secara keseluruhan dan tidak mahu berada di hadapan dalam sesuatu tindakan dan pemikiranlah yang meletakkan bangsa kita di belakang dalam banyak perkara di dunia.

Penulis tahu masih ramai yang sangsi mengenai wujudnya konspirasi barat untuk menakluki dunia. Di samping itu, di antara yang mempercayai kewujudan konspirasi ini pula, tidak benar-benar menganalisis modus operandi barat jauh sekali menghayatinya. Dua kumpulan ini seringkali menuduh atau menganggap golongan yang begitu mempercayai teori konspirasi ini sebagai bersikap paranoid atau keterlaluan akibat terlalu banyak menonton filem risikan barat.

Apa yang berlaku di Malaysia kini bukanlah kemelut politik dalaman antara pemimpin UMNO atau bekas pemimpin UMNO. Ia bukan juga sekadar masalah ekonomi global yang memberi tempiasnya kepada negara. Ia jauh lebih besar, jauh lebih luas, lebih dalam dan lebih kompleks.

Peralihan kuasa yang berlaku pada 2003 daripada Tun Dr.Mahathir kepada Abdullah berlaku dalam keadaan yang aman dan begitu professional. Oleh kerana Tun Dr. Mahathir membuat pengumuman mengenai pengganti beliau lebih kurang setahun sebelum tarikh persaraannya, maka semua pihak punya banyak masa untuk membuat persediaan bagi menerima Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri.

Tetapi apa yang kita tidak tahu ialah antara yang membuat persediaan itu juga termasuklah pihak barat. Selama setahun barat berpeluang mengkaji Abdullah Badawi, meletakkan orang-orang tertentu di kelilingnya dan mencipta perangkap untuk digunakan terhadap Abdullah di kemudian hari.

Kerana itulah, tidak sampai pun sebulan selepas Abdullah menduduki takhta, barat tidak langsung membuang masa untuk menyerangnya. Ini boleh dilihat bila mana Abdullah tiba-tiba sahaja membuat kenyataan bagi ‘melembutkan’ ucapan kontroversi Tun Dr. Mahathir di Persidangan OIC mengenai ‘Yahudi memerintah dunia melalui proksi’ yang telah pun berlalu selama sebulan ketika itu. Barat juga tiba-tiba sahaja mempersoalkan keselamatan rakyat mereka di sini dan mengaitkan dengan keganasan di selatan Filipina selang beberapa minggu selepas itu. Entah kenapa Malaysia tidak langsung menafi tuduhan tidak berasas Amerika ketika itu. Dari situ, perlahan-lahan kita mula melihat Abdullah condong ke barat dan menari mengikut rentak mereka termasuklah dalam pendirian mengenai dasar negara terhadap jirannya.

Skandal oil-for-food dan Scomi nuclear centrifuge menggemparkan negara kemudiannya.

Seterusnya skandal dalam negara seperti Jambatan Bengkok, ECM Libra, MV Augusta, Pantai Holdings dan lain-lain pun timbul.

Semua ini menguatkan lagi genggaman barat terhadap Abdullah sehinggalah Abdullah tidak boleh bernafas lagi. Jika musuh mahu Anwar jadi PM, Abdullah harus berusaha merealisasikannya.

Perbuatan mengungkit perihal lama mengenai Tun Dr. Mahathir juga adalah salah satu cara untuk memberi amaran kepada Abdullah mengenai apa yang akan terjadi kepadanya andainya dia melakukan peralihan kuasa kepada orang lain selain Anwar Ibrahim. Malang, Abdullah Badawi bukan Tun Dr. Mahathir yang sememangnya tidak bersalah dan tiada apa untuk ditakutkan.

Jika benar semua yang penulis paparkan ini, maka yang menjadi kegusaran sekarang ialah; barat tentunya sudah bersedia dengan pelan B atau C dan seterusnya, andainya pelan mereka untuk menaikkan Anwar Ibrahim gagal dalam waktu terdekat ini.

Barat tentu sudah mula melihat ke hadapan iaitu scenario di mana Najib berjaya mematahkan segala halangan dan menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan Abdullah. Justeru , apakah pelan mereka untuk Najib? Apakah persediaan yang telah mereka lakukan untuk menerima / menggenggam Najib?

Atau, mungkinkah Najib telah sedia maklum mengenai persediaan mereka dan kerana itulah beliau mengambil sikap pasif dengan terus berlagak setia di belakang Abdullah?

Ini adalah antara kelemahan dalam menamakan pengganti terlalu awal kerana ia memberi peluang pihak musuh membuat persediaan awal juga.

Najib, penulis yakin tidaklah semudah Abdullah untuk dibutakan, dipekakkan, disumbat mulut atau dicucuk hidung sewenang-wenangnya oleh barat. Najib sememangnya pemimpin yang berkaliber dan telah membuktikan keberkesanan pimpinan beliau walau apapun kritikan yang dilemparkan terhadap peribadi beliau.

Justeru, andainya Najib berada di pihak yang benar, beliau tidak harus ragu-ragu walau barat punya pelan B, C sehingga Z sekalipun.

Tetapi, di dalam scenario kedua iaitu jika Najib berpotensi untuk digenggam, maka adalah penting untuk beliau bersiap sedia dengan Pelan A, B, C dan seterusnya bagi menyelamatkan negara, dan jika mampu, dirinya juga. Ingat, keutamaan di sini ialah negara, dan diri sendiri adalah yang kedua. Kita pasti Najib atau sesiapa sahaja tentu tidak sanggup menjadi seperti Abdullah yang sudah terjerat dan tersesat jauh di mana satu-satunya cara untuk dia selamat adalah bergantung terus kepada musuh…atau…

Yang penting sekarang ialah para pemimpin kita harus terlebih dahulu memahami dan menerima hakikat tentang saiz masalah yang kita hadapi. Bagaimana hendak menghadapi laut bergelora dengan ombak menggunung jika hanya membuat persediaan untuk ke sungai?

Kita berhadapan dengan pasukan risikan musuh yang tersusun, ramai dan yang penting, berkuasa. Satu-satunya peluang kita ialah, mereka ini terbukti tidaklah begitu bijak dan sangat terburu-buru. Walau apapun, jangan perkecilkan permainan ini, dan jangan anggap artikel ini sebagai satu imaginasi liar seorang peminat filem risikan barat. Malaysia bukan lagi satu tempat terpencil dan politik UMNO bukan lagi terhad di peringkat kampungan – semua dan segalanya di dunia ini kini berkait.

Rancangan tersusun dan pasukan yang mantap amat penting. Tetapi, Najib, Muhyiddin, Rais atau sesiapa sahaja tidak akan berjaya jika bertindak berasingan atau berseorangan. Penulis percaya beberapa pemimpin, bekas pemimpin dengan bekas penasihat dan pasukan mereka yang berpengalaman dan IKHLAS boleh berganding bahu mengatur perancangan dan strategi dengan baik.

Imbas kembali “Serangan waktu subuh” (pengambilan kembali Guthrie Corporation oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNB) di Bursa Saham London dan memulangkan hakmilik tanah pertanian kepada rakyat Malaysia), “Buy British Last” sehingga menyebabkan Britain terpaksa mengaku kalah kepada Malaysia dan strategi “penetapan nilai matawang” bagi mengatasi krisis ekonomi 1997/98, adalah antara strategi hebat yang terpahat dalam sejarah yang lahir dari pemikiran pemimpin dan pakar-pakar strategi kita. Allah memberi kita kelebihan dengan membiarkan mereka-mereka ini MASIH bersama kita.

Yang penting, satu garis jelas perlu diletakkan di antara pemimpin sebenar dengan pemimpin yang merupakan musuh dalam selimut. Yang penting juga, tiada lagi pemimpin yang masih tegar bersikap seolah-seolah ini semua hanya satu pertandingan merebut jawatan di dalam UMNO – sekarang bukan lagi masa untuk kegilaan merebut jawatan, melobi dan mencari publisiti diri atau menjenguk-jenguk peluang menimba wang dari sesiapa. Lagipun sikap seperti itu hanya menambah jelaknya rakyat terhadap UMNO. Fokuslah kepada perkara yang lebih besar iaitu bangsa, negara dan penaklukan dunia oleh kuasa besar. Hanya dengan kesedaran kita semua maka Allah akan menyelamatkan kita dari bala.

Jika kita ingin memenangi permainan ini, mulalah dengan melihatnya dari kacamata musuh, iaitu dari segenap sudut atas dan bawah, sekeliling dan keseluruhan yang luas terbentang, bukannya sekadar dari bawah tempurung di kampung.

Namun, lebih dari itu,jika kita ingin memenangi permainan ini, pemimpin kita harus sedia dan menerima hakikat bahawa mungkin ada di antara mereka yang perlu mengorbankan jawatan, wang, kuasa hatta nama baik sendiri jika itu yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan negara dan bangsa tercinta ini. Insya-Allah, mereka akan dinobatkan rakyat sebagai wira.

Walau apapun, dalam kita berbuat persediaan, berdoalah agar pandangan penulis ini silap. Amin.

Sumber: KMU.Net

No comments: