04 June, 2008

KENAIKAN HARGA MINYAK TERBURUK DALAM SEJARAH NEGARA

Kerajaan petang semalam mengumumkan kenaikkan harga petrol sebanyak 78 sen - satu pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70.

Manakala harga minyak diesel pula naik kepada RM2.50 - naik 92 sen berbanding harga sekarang sebanyak RM1.58 seliter.

Pemimpin parti Pakatan Rakyat menyifatkan kenaikan harga petrol dan diesel pada kadar 41 peratus sebagai membebankan rakyat dan yang terburuk dalam sejarah negara.

Sementara itu, ganjaran memberi wang tunai kepada pemilik motosikal dan kereta pada akhir tahun tidak akan meringankan beban rakyat yang sebelum ini dibebankan dengan kenaikan harga barang-barang keperluan seperti beras, ayam dan tepung.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar berkata, pemberian RM625 setahun bagi kenderaan berkapasiti enjin sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti sehingga 2,500cc hanya menjimatkan RM2 sehari.

Menurutnya, beban rakyat dapat diatasi segera dengan menaikkan gaji kakitangan awam dan menetapkan gaji minimum RM900 seperti dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), baru-baru ini.

"Lazimnya, apabila harga bahan bakar naik, kesan kepada kos kehidupan akan melambung dan inflasi meningkat,'' katanya ketika dihubungi sebuah akhbar online alternatif.

Sebagai negara pengeluar minyak, kata Kamaruddin, kerajaan tidak sepatutnya menaikkan harga bahan bakar itu sebegitu tinggi walaupun ia adalah fenomena dunia yang tidak dapat dielakkan.

Beliau juga mengaitkan India yang bukan negara pengeluar minyak hanya menaikkan harga petrol sebanyak 10 peratus hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar ketika mengulas kenaikan harga minyak ini kepada Harakahdaily hari ini menyatakan ia sebagai satu tindakan yang terlampau, Mahfuz berkata kerajaan Abdullah Badawi sekali lagi menipu rakyat dengan tanpa sebarang petanda terus mengumumkan kenaikan harga minyak pada tahap tertinggi.

"Sedangkan sebelum ini kenaikan dikatakan akan dikaji dan berkemungkinan akan berlaku pada Ogos ini," ujar Mahfuz.

Namun tanpa sebarang 'signal' awal kepada rakyat, kerajaan terus memperbodohkan rakyat dengan menaikkan sekali lagi harga minyak pada satu tahap yang cukup menjerat kehidupan rakyat.

"Ini keputusan dari kerajaan yang terlampau, rakyat dihadiahkan dengan kenaikan RM0.78 sen harga petrol sementara diesel sehingga RM1.00. Ini satu kenaikan yang tertinggi yang pernah dicatatkan," ujarnya.

"Dengan tindakan ini, rakyat dihumban kerajaan Umno/BN kepada satu kehidupan yang lebih teruk tanpa sebarang belas kasihan," ujar Mahfuz.

Baginya tindakan ini sekali lagi satu penipuan dimana sebelum ini semasa pilihan raya umum yang lalu, kerajaan berjanji tidak akan menaikkan harga minyak.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua berkata, kenaikan harga petrol dan diesel itu akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara.

Beliau menegaskan, sekiranya kemampuan rakyat untuk membeli menurun, maka negara akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang negatif.

Justeru, katanya, apabila ini berlaku ia akan menjejaskan perusahaan kilang-kilang kecil serta peluang pekerjaan turut terjejas.

Laporan Lain:

Perdana Menteri humban rakyat ke arah hidup lebih terdesak

Terima kasih rakyat Malaysia yang memberi kuasa kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertakhta semula pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Hari ini BN membalas budi baik itu dengan menaikkan harga petrol sebanyak 41 peratus. Kerajaan telah menunaikan janjinya dan terimalah pengundi BN dengan dada terbuka.

Pengerusi Perhubungan KeADIlan Kelantan, Haji Abdul Aziz Kadir berkata, kerajaan BN benar-benar sudah membalas budi rakyat Malaysia dengan kenaikan bebanan hidup yang semakin mendesak sekarang.

"Inilah hadiah istimewa kepada mereka yang mengundi BN pada pilihan raya umum lalu. Kerajaan membalas pengorbanan rakyat dengan menghumbankan mereka ke kancah kehidupan yang lebih teruk.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah tamadun Malaysia begitu teruk pengurusan negara di bawah Perdana Menteri yang hanya diselamatkan oleh wakil-wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak pada pilihan raya umum lalu," katanya di sini.

Petang semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70. Ini bermakna kenaikan sebanyak 41 peratus.

Manakala harga minyak diesel pula naik kepada RM2.58, naik RM1 berbanding harga sekarang sebanyak RM1.58 seliter. Kenaikan harga bahan api itu akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Sejak awal 2004, Abdullah sudah tujuh kali menaikkan harga petroleum dan ia ternyata berjaya mencecah rekod Perdana Menteri sebelum ini.

Kenaikan harga itu merupakan sebahagian langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini.

Abdul Aziz yang juga anggota Parlimen Ketereh berkata, kerajaan BN cuba memujuk rakyat dengan membandingkan harga minyak dengan negara-negara lain di Asia Tenggara.


"Kerajaan sebenarnya cuba memperbodohkan rakyat dengan statistik seperti itu, sedangkan negara terbabit bukan pengeluar minyak seperti Malaysia.

"Lagi pun kos hidup rakyat di negara berkenaan seperti Thailand jauh lebih rendah berbanding di negara ini," ujarnya.

Oleh itu beliau percaya masa untuk kejatuhan Perdana Menteri yang begitu lemah sudah tiba dan rakyat perlu bergerak seiring dengan Pakatan Rakyat bagi mengembalikan semula negara ke landasan yang betul.

Sementara itu, orang ramai mulai berpusu-pusu ke stesen-stesen minyak di sekitar bandar ini sebelum kenaikan 78 sen berkuatkuasa tengah malam tadi. - Harakahdaily.net.

No comments: