19 June, 2008

Melihat kemungkinan berlaku undi tidak percaya

USUL undi tidak percaya tidak pernah berlaku di dalam Parlimen Malaysia, walaupun telah berlaku di negeri Sarawak pada akhir tahun 60-an dalam kes Stephen Kalong Ningkan.

Pun begitu, dalam kes Sarawak tersebut usul tersebut tidak dibuat di dalam Dewan Negeri, maka mahkamah menyatakan bahawa usul tidak percaya tersebut tidak sah. Mahkamah dalam kes tersebut menyatakan bahawa, untuk menjadikan sesuatu undi tidak percaya tersebut sah, ia hendaklah dilakukan secara formal di dalam Dewan Negeri.

Berdasarkan keputusan kes di Sarawak ini maka, semestinyalah undi tidak percaya tersebut dibuat di Parlimen, sekiranya terdapat pihak yang mahukan Perdana Menteri secara sah dianggap hilang kepercayaan.

Tetapi dalam prinsip perlembagaan yang asas, keputusan dalam kes Stephen Kalong Ningkan tersebut bukanlah satu-satunya cara yang membolehkan seorang Perdana menteri atau pemerintah hilang kepercayaan Dewan.

Contohnya, dalam kes yang berlaku di Sabah, kes Tun Datu Amir Kahar. Mahkamah menentukanbahawa, tanggapan tidak percaya boleh terjadi bilamana, bilangan mereka yang menyokong pemerintah menjadi lebih kecil bilangannya daripada mereka yang menentang.

Dalam kes Datu Amir Kahar ia dikenali sebagai "extraneous circumstances". Dato' Pairin Ketingan yang telah hilang beberapa orang rakan parti dan menjadikan parti majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Sabah berkurangan dan gagal membentuk majoriti, menyebabkan Pairin telah meletakkan jawatan.

Datu Amir Kahar pada ketika itu merupakan Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah memohon kepada Mahkamah untuk mengekalkan jawatannya, walaupun Dato' Pairin telah meletakkan jawatan.

Mahkamah memutuskan bahawa, perletakan jawatan Pairin Kitingan merupakan perletakan jawatan keseluruhan kabinet, bukannya perletakan jawatan secara berseorangan, dan Datu Amir Kahar sebenarnya bukan lagi seorang menteri.

Walaupun undi tidak percaya bukanlah isu utama dalam kes tersebut, tetapi mahkamah telah membuat satu prinsip penting dalam perkara undi tidak percaya ini, iaitu, undian secara formal di dalam Dewan bukanlah satu-satunya cara melahirkan undi tidak percaya.

"Extraneous Circumstances"
Dalam "extraneous circumstances" ini, tidak perlu lagi undi tidak percaya secara formal seperti yang diputuskan dalam kes Stephen Kalong Ningkan di Sarawak itu.

Sekiranya ramai penyokong pemerintah telah beralih parti, dan parti yang dulunya minoriti telah membentuk majoriti, maka ini dengan sendiri menjadi "extraneous circumstances" dan boleh dikatakan sebagai undi tidak percaya seperti di dalam kes Tun Datu Amir Kahar di Sabah itu.

Dalam keadaan lain, undi tidak percaya juga mungkin berlaku sekiranya pihak pemerintah gagal mendapatkan kepercayaan. Contohnya, bila para penyokong kerajaan meminta para ahli Dewan Rakyat memberikan sokongan atau kepercayaan kepada pucuk pimpinan, tetapi permintaan tersebut gagal mendapat sokongan atau kepercayaan yang dimaksudkan, maka keadaan ini juga boleh dikatakan sebagai undi tidak percaya.

Begitu juga dalam keadaan di mana pihak kerajaan telah tidak dapat meluluskan rang undang-undang atau polisi besar negara, kerana gagal mendapatkan 2/3 majoriti pada peringkat bacaan kedua dan ketiga sesuatu rang undang-undang atau telah ditentang hebat mengenai polisi besar tersebut, maka ini juga menjadi satu situasi yang mana undi tidak percaya telah berlaku.

Senario sekarang ini memperlihatkan hilangnya kepercayaan salah satu parti komponen, bukannya majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang disebutkan oleh Perlembagaan.
Namun begitu, ini adalah bunga-bunga atau bibit-bibit yang kelak akan menjelaskan pandangan sesetengah parti komponen BN.

Mungkin di dalam dada-dada akhbar pada hari ini memberikan biodata dan kronologi penglibatan Dato' Yong Teck Lee, apa yang harus pembaca akhbar lihat ialah, kesungguhan Parti tersebut untuk menyuarakan ketidakpercayaan mereka terhadap pucuk pimpinan BN.

Apa yang perlu dilakukan Perdana Menteri sekiranya undi tidak percaya ini berlaku?
Menurut peruntukan Perlembagan Persekutuan, Perkara 43(4), Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan, dan seorang Perdana Menteri baru akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa perlu menjalankan satu pilihan raya umum yang baru.

Perletakan jawatan Perdana Menteri dalam keadaan ini merupakan juga perletakan jawatan kesemua Jemaah Menteri yang telah dilantik semasa pemerintahan Perdana Menteri tersebut, seperti yang telah diputuskan dalam kes Datu Amir Kahar di Sabah.

Jika Perdana Menteri pasrah dan redha dengan apa yang berlaku, maka proses ini agak mudah, yang mana Yang di-Pertuan Agong akan melantik seorang yang pada pandangannya akan beroleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, sebagaimana peruntukan perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.

Dan seterusnya Perdana Menteri baru tersebut akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Jemaah Menteri yang baru pilihan kedua yang ada, sebagaimana peruntukan Perlembagaan ialah Perdana Menteri, sekiranya tidak mahu meletakkan jawatan, maka beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Mungkin ini yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri yang masih di dalam "state of denial" yakni tidak dapat menerima undi tidak percaya tersebut.

Sekiranya Dewan dibubarkan, maka, satu pilihan raya umum perlu dijalankan bagi melantik perwakilan yang baru.

Satu lagi proses membuang undi dan membuang duit akan berlaku.
Apa akan berlaku sekiranya Perdana Menteri gagal melakukan salah satu daripada dua pilihan yang diberikan oleh Perlembagaan?

Jawapannya agak ringkas, iaitu kegagalan tersebut adalah tidak berperlembagaan tetapi kesannya memang besar.

Namun kesannya ialah, ia akan mengundang bahaya pada negara, apabila suasana politik menjadi tegang dan berbagai kemungkinan yang lebih teruk boleh berlaku. Setakat, sebagai rakyat, kita lihat apa akan berlaku Isnin ini.

Sumber: Harakahdaily.net

No comments: