08 May, 2008

13 Mei 1969

Saya lahir selepas beberapa tahun berlaku peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Mula mengetahui tarikh ini sewaktu di bangku sekolah. Selepas menamatkan sekolah, bangkit semula tarikh tersebut sewaktu berkhidmat dengan bekas setiausaha politik (setpol) Tun Dr Ismail, Allahyarham Tuan Haji Ikhwan Nasir, iaitu guru yang mengajar saya di bidang kewartawanan. Beliau menceritakan peristiwa tersebut kepada saya.

Dua tahun yang lalu, saya bertemu dengan seorang veteran UMNO yang mendedahkan kepada saya tentang bidang risikan. Dalam tempoh itu sehingga sekarang, melalui pemerhatian terhadap isu-isu politik semasa telah menyebabkan keinginan saya untuk mengkaji balik tarikh keramat berkenaan.

Dua hari yang lalu, saya meminta beberapa orang kawan yang bertugas sebagai wartawan supaya mencarikan saya buku berkenaan 13 Mei. Ada di kalangan mereka bertanya untuk apa? Saya jawab, research peribadi! Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, saya wajib mengetahuinya.

Dan semalam, saya memperolehi buku berkenaan. Alangkah terperanjatnya kerana apa yang saya jangkakan memang tepat. Apa yang saya jangka memang ada dalam buku yang saya beli semalam. Tak perlu saya nyatakan apa dia. Cuma saya memetik sedikit kandungan dari buku 13 Mei yang ditulis oleh Kua Kia Soong, yang diterjemahkan oleh Siah Li Ling.

Muka surat 3 dalam tajuk Kelas dan Sistem Komunalisme menyatakan analisis pengarang buku berkenaan seperti berikut:

" .... rusuhan perkauman 13 Mei 1969 tentu sekali bukan satu ledakan keganasan perkauman yang spontan dalam sebuah masyarakat berbilang kaum. Dokumen-dokumen deklarifikasi ini dengan jelas menunjukkan bahawa terdapat satu rancangan untuk melakukan keganasan perkauman ini."

Dalam perenggan yang lain: " ..... Ia bertujuan menggulingkan Tunku yang mewakili golongan aristokrat Melayu yang dianggap ketinggalan zaman. Ia adalah satu pemberontakan kilat. Ia telah mengubah haluan sejarah politik Malaysia dan menjamin kebangkitan serta perlindungan kelas pemerintah kapitalis Melayu baru melalui Dasar Ekonomi Baru."

Muka surat 52, dalam ringkasan menyebut: "Tidak dapat dipertikaikan, rekod-rekod menunjukkan bahawa rusuhan Mei 1969 telah dirancang dan dikelolakan dengan teliti, dan rusuhan adalah satu alasan bagi rejim baru untuk mengisytiharkan darurat supaya menghasilkan pertukaran rejim ..."

Ada dua perkara yang saya terkejut. Satu mengenai analisis saya yang tepat dan kedua bagaimana buku tersebut yang 'menelanjangkan' perkara yang sebenar mengenai rentetan perjalanan tahun 1969 dibenar dipasarkan secara terbuka! Mungkin inilah yang dikatakan dasar keterbukaan Perdana Menteri sekarang.

Dalam pandangan yang dipetik dari beberapa pihak mengenai buku itu, Sunday Star, 3 Jun 2007, melaporkan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanir Omar sebagai berkata:

"Saya terperanjat mendengar kenyataan Dr Kua Kia Soong yang dibuat ketika melancarkan buku barunya atas peristiwa 13 Mei 1969 yang dikarang berdasarkan laporan-laporan kakitangan Kedutaan British kepada Pejabat Luar Negeri British bahawa peristiwa tersebut telah diatur oleh anggota-anggota UMNO untuk menggulingkan Tunku Abdul Rahman. Beliau mendesak supaya mendirikan sebuah suruhanjaya untuk mencari kebenaran. Saya terkejut, kononnya beliau menambah bahawa kecuali ini dilaksanakan atau pun kecuali kebenaran didedahkan, perpaduan negara atau sesuatu yang serupa tidak akan tercapai. Peristiwa ini sudah berusia 38 tahun, saya fikir ia terlalu 'tua' untuk menjadi satu kemarahan yang patut dibiarkan mengancam perpaduan negara. Patutkah kita membiarkan masa lampau menghancurkan masa depan kita?"

The Sun, 19 Jun 2007 pula melaporkan:

"Kementerian telah memeriksa buku ini dan memutuskan bahawa ia tidak akan diharamkan di bawah Akta Penerbitan dan Percetakan Akhbar 1984. Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata buku ini tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh membahayakan keselamatan negara. Polis tidak pernah merampas buku ini ataupun mengeluarkan sebarang amaran berkenaannya."

Memanglah ia tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh membahayakan keselamatan negara tetapi tindakan ini secara tidak langsung telah "membongkar" rahsia yang tersirat yang selama ini ditutup rapat oleh pihak-pihak tertentu yang "menggunakan" UMNO untuk tujuan tertentu.

Saya melihat tindakan yang dilakukan oleh 'tangan-tangan halus' itu dari sudut kebaikan tetapi penulis buku itu melihatnya dari sudut keburukan - tidak patut boleh berlaku begitu, tidak adil, lebih kepada perkauman. Pokoknya ia kelihatan buruk belaka!

Sebenarnya, kalau buku itu dibaca oleh orang Melayu secara tersirat - bukan membacanya sepintas lalu - ia boleh mengundang kemarahan kepada orang-orang Melayu yang tebal dengan fahaman nasionalis.

Yang pastinya, ada pihak yang terluka dengan dasar keterbukaan yang sebenarnya boleh mengancam keselamatan negara. Dasar keterbukaan sebenarnya telah mengundang lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Saya teringat dengan pertanyaan seorang yang mendakwa sebagai anggota cawangan khas. Dia bertanya kepada saya: "Awak agak-agak, Pak Lah boleh lama tak jadi Perdana Menteri?" Waktu itu Pak Lah belum pun menjadi Perdana Menteri dan pengetahun saya tentang bidang risikan adalah kosong. Waktu itu saya menjawab: "Entahlah, saya tak tahu apa-apa. Saya bukannya seorang penganalisis." Dia pun tersenyum.

Kenapa saya 'relate'kan pengalaman itu dalam catatan ini, kerana saya baru tahu sekarang bahawa betapa besarnya peranan bidang risikan bukan sahaja di negara kita, bahkan di seluruh dunia.

Sebaik sahaja membaca buku karangan Kua Kia Soong itu, saya boleh 'baca' apa perasaan anggota risikan pada waktu sekarang. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang terlibat di dalam 'mencorakkan' tarikh 13 Mei 1969 masih lagi hidup sekarang. Sangat sedih. Sangat marah. Dan padahlah kepada mereka yang membocor dan membantu pihak yang membocorkan apa yang sebenarnya ditutup.

Benarlah, Pak Lah tidak lama menjadi Perdana Menteri. Demi sebuah keamanan dan kedamaian serta rasa kasih sayang, Pak Lah harus berkorban dari terus menjadi Perdana Menteri. 'Dateline'nya sudah semakin hampir. Belajarlah dari peristiwa 13 Mei, sebab dan musababnya, yang tersirat, bukan yang tersurat.

Jika tidak berkorban, pasti keadaan semasa lebih mencemaskan. Dan hari ini, lead story akhbar Utusan Melayu: Melayu Marah - PM, sebenarnya telah mengajak pembaca khususnya kaum Melayu untuk ikut sama marah. Marah kepada siapa? Anda sendiri yang berasa marah boleh tahu jawapannya, tak perlu tanya pada orang lain.

Orang membacanya hanya melihat kemarahan orang-orang Melayu. Tetapi yang tersiratnya, Pak Lah tak lama jadi Perdana Menteri. Sama ada beliau meletak jawatan ataupun dijatuhkan. 'Signal'nya sudah ada. Kalau media 'dipengaruhi' untuk terus memainkan sentimen perkauman, kenyataan ini ada kebenarannya. Sesiapa yang dapat mem'baca' peristiwa 13 Mei, saya yakin mereka sealiran dengan saya.

'Signal'nya datang daripada pihak-pihak yang telah dilukakan. Bagi orang biasa, memang 'biul' untuk memahami keadaan semasa sekarang. Jika Pak Lah sudah belajar dari kesilapan pemimpin masa lalu dan memahami sebetul-betulnya peristiwa 13 Mei tetapi masih tidak berganjak dengan pendirian, itu bermakna Pak Lah hanya mementingkan diri sendiri dari kesalamatan orang awam. Orang yang tidak bersalah, yang tidak tahu apa-apa akan menjadi korban akibat berpegang pada pendirian.

Tindakan harus pantas. Pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir harus diambil serius, bukannya main-main. Siapa yang bertindak terlebih dahulu: Pak Lah ataupun Anwar Ibrahim? Yang nyata, negara luar khususnya Barat mahu Anwar menjadi Perdana Menteri. Kenapa ye? Orang lain dah ulas.

Jika 'isu' lompat dipandang remeh dan apabila Pak Lah tidak diyakini, sudah tentu lompat secara sukarela akan berlaku. Krisis keyakinan terhadap kemimpinan telah memuncak. Itu terpulang kepada Pak Lah. Sama ada akan berlaku ataupun 'sengaja' dibiarkan berlaku untuk meneruskan kesinambungan pemimpin yang dikehendaki oleh negara Barat.

Sekarang ini, ideologi terbahagi kepada dua: satu yang mendokong ketuanan Melayu dan satu lagi yang memperjuangkan prinsip Malaysia Malaysian, kesamarataan. Realitinya yang berlaku hari ini, politik di negara kita masih tebal dengan pengaruh perkauman.

No comments: