07 May, 2008

Pemerintah, negara Islam gagal
PERTAHAN NAMA ALLAH


Oleh wartawan Warta One

DARI hari ke hari, Islam semakin terhina. Baik di seluruh dunia atau dalam negara kita yang diwar-warkan (kononnya) negara Islam, agama yang dibawa oleh Rasulullah ini kian tidak dihormati.

Dalam negara kita yang diperintah oleh kerajaan UMNO/BN sejak lebih 50 tahun lalu jelas Islam semakin tercabar. UMNO yang mendakwa siang malam membela Islam rupa-rupanya hanya membela pemimpin mereka.

Cukup jelas. Puncanya adalah UMNO dan orang Melayu hari ini yang lemah. Kepimpinannya yang amat lemah dan lembik menyebabkan orang bukan Melayu mulai mendapat tempat dan kedudukan yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

Dalam negara kita, ‘Melayu’ ditafsirkan sebagai keturunan Melayu, mengamalkan adat resam dan membudayakan Melayu, berbahasa Melayu dan beragama Islam.

Dalam budaya amalan dan adat resam Melayu, ‘Allah’ itu adalah nama yang eksklusif bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Satu, Maha Pemurah, Bijaksana dan Pengampun. Dalam amalan mereka, orang Melayu tidak menggunakan ganti nama ‘Tuhan’ pun untuk memberikan maksud yang sama, tetapi ‘Allah’.

Ini kerana dalam amalan budaya Melayu, ‘Allah’ itu melambangkan kuasa kebesaran yang orang Islam sujud, menyembah dan meminta, manakala ‘Tuhan’ pula adalah ganti nama turun-temurun bagi kepercayaan lain yang bebas diamalkan selagi tidak bertentangan dengan ranah dan proses dakwah Islam.

Malangnya, baru-baru ini timbul pula isu yang membabitkan nama Allah. Semakin dibimbangi, Allah bukan lagi eksklusif untuk orang Melayu-Islam dan kedudukan Islam dicabar.

Keadaan atau gejala ini amat berbeza. Golongan bukan Melayu dan bukan Islam semakin berani mencabar penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam kitab dan gereja mereka. Lebih malang, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkanya pula.

Penganut Kristian Katholik Malaysia telah memenangi hak untuk mencabar pengharaman perkataan Allah.

Kehakiman hari ini tidak lagi memihak kepada kepentingan majoriti negara, tetapi kehendak minoriti, yang sengaja mencari ruang dan peluang untuk menyelitkan agenda mereka mendapat kelebihan strategik.

Keadaan ini tidak sebagaimana masa lalu, apabila Ketua Hakim Negara bertindak tegas menurut lunas-lunas Perlembagaan dan memastikan kepentingan kumpulan majoriti dipertahankan terlebih dahulu.

Jelas terbukti kepimpinan hari ini begitu lemah dan tidak lagi berupaya mempertahankan apa yang hak bagi Orang Melayu-Islam di tanah air bumi Melayu ini. Apa yang selama ini menjadi hak eksklusif orang Melayu-Islam kini sudah boleh dijarah oleh orang lain tanpa sempadan.

Barangkali ini adalah permulaan bagi ketirisan budaya Melayu-Islam yang dibuat secara berstruktur, menurut Perlembagaan tetapi acuan pihak tertentu yang sengaja berusaha melihat Melayu-Islam Malaysia terdedah dan mudah dipengaruhi elemen dan anasir yang melemahkan jati diri, iman dan sifat memperjuangkan agama Allah, terutamanya pada zaman mencabar globalisasi ini?

Justeru, dalam soal ini, kata-kata keramat Hang Tuah tidak lagi benar! Melayu akan hilang di dunia. Proses kehilangan itu sedang berlaku sekarang. Tanpa Islam, Melayu tidak bererti lagi, malah merupakan rumpun Malayo-Polynesia, sama seperti di Ambon, Luzon atau Samoa.

Ini semua berlaku semasa Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi menerajui kepimpinan negara.

Pada hakikatnya, hari ini kita sebagai umat Islam adalah khalifah Allah di muka bumi Nusantara bertuah. Bagaimanapun, apakah kita bersedia berhadapan dengan Allah sedangkan kita gagal mempertahankan nama Allah itu di tanah air kita sendiri?

No comments: