04 May, 2008

Laporan Metro - Peristiwa Bagaikan Dirancang


Berikut adalah petikan dari laporan akhbar Metro Ahad, 4 Mei 2008:

Peristiwa bagai dirancang

Oleh TUAN ASRI TUAN HUSSEIN

KUALA LUMPUR: Apabila sekumpulan aktivis yang menggelarkan diri mereka Professional Islamic Support and Nurture Group (Pisang) atau Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam, bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan bekas pelajar genius di London, Sufiah Yusof, daripada kancah pelacuran, maklum balas berbeza diterima daripada pelbagai pihak.

Ada yang menyokong dan ada juga menentang. Bagi yang menentang, alasan diberi ialah mengapa kita rakyat Malaysia bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan Sufiah, sedangkan ramai lagi ‘Sufiah’ di Malaysia tidak pernah diberi perhatian.

Turut dipersoalkan ialah kewarganegaraan Sufiah, 23, kerana wanita itu secara rasminya bukan warga Malaysia tapi cuma emaknya, Halimahton Yusof berasal dari Malaysia.

Begitupun, anggota Pisang, Hanafi Abdul Malek, yang ada di London sejak 22 April lalu dalam misi menyelamatkan Sufiah, meminta masyarakat Melayu Islam di Malaysia berpandangan lebih jauh dan jangan mudah membuat tuduhan melulu.

“Sebenarnya ini bukan sekadar soal seorang gadis bernama Sufiah, tapi ia soal Islam yang dihina dan diperlekehkan. Bagi saya, apa yang berlaku ke atas Sufiah adalah agenda terancang pihak Barat untuk menjatuhkan maruah Islam.

“Kita juga tidak sepatutnya dengan mudah menyalahkan ibu Sufiah, kononnya dia tidak pandai menjaga anak.

“Hakikatnya, apa yang berlaku ke atas ibu Sufiah juga boleh berlaku ke atas ibu lain di Malaysia, biarpun anak mereka tidak ada di London,” katanya melalui e-mel kepada Metro Ahad.

Berikut adalah kandungan penuh e-mel Hanafi yang juga Pengerusi Yayasan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim) untuk renungan masyarakat Melayu Islam di Malaysia:

“Assalamualaikum. Saya sekarang ada di United Kingdom (UK) bersama rakan, Trimizi Zainal dan Nor Azian Ab Rahman yang bekerjasama dengan Persatuan Melayu UK dalam usaha mencari dan menyelamatkan Sufiah.

Kami lakukan ini kerana menjalankan tanggungjawab yang Allah perintahkan kepada umat Islam, apabila kamu melihat kemungkaran, hendaklah kamu ubah dengan tangan (kuasa), lidah (lisan) dan hati (paling lemah).

Apa yang kita buat bila kita dengar kes Sufiah. Kita marah, kita maki, kita sedih dan kita hina, tapi apa yang kita buat? Kita hanya membuat hukuman pada perkara yang tak pasti.

Salah didik anaklah, salah itulah, salah inilah, macamlah kita tak ada salah. Mungkin betul, mungkin salah, mungkin berdosa, tapi jangan kita maki sebelum kita doa. Jangan kita hina sebelum kita cuba lakukan sesuatu.

Salahkah, berdosakah kalau kita buat solat hajat dan kita berdoa. Ingat, Allah itu adil. Hari ini kita kata pada orang. Esok bila Allah uji kita, baru tahu tinggi rendahnya langit.

Buat pengetahuan semua, saya sudah bertemu emak Sufiah, seorang ibu yang menitikberatkan soal agama dan sangat pengasih.

Dia kini kesedihan dan tertekan dengan pihak tertentu yang sentiasa berusaha mencari kelemahan yang boleh memalukan orang Islam.

Masyarakat di UK yang majoritinya bukan Islam sentiasa memandang sinis dan ketawa bila isu Sufiah heboh di UK. Pernahkah kita terfikir betapa hancur hati ibu Sufiah?

Selepas suami dituduh melakukan gangguan seks dan dijatuhi hukuman, tiga hari kemudian terpampang pula berita dan gambar Sufiah menjadi pelacur di dalam akhbar.

Semuanya bagai dirancang dan diatur. Bayangkan betapa hancur hatinya (Halimahton). Ibu mana sanggup melihat anaknya berbogel dan digelar pelacur.

Selain itu, mana ada pelacur bangga dengan kerjanya dan ditemuramah pula dalam TV.

Di UK punyalah ada banyak pelacur dan ramai juga yang lebih cantik daripada Sufiah, tapi kenapa mereka tawar Sufiah beribu-ribu pound untuk ditemuramah? Apa sebabnya? Bagi saya, sebab Sufiah orang Islam dan keluarganya juga Islam.

Kita perlu sedar, musuh Islam memang suka tengok orang Islam jadi pelacur dan pengganas. Kalau boleh, orang Islam yang genius semua mereka nak jadikan pelacur.

Kami dari Pisang cuba sedaya upaya untuk memastikan supaya Sufiah kembali ke pangkal jalan dan kami akan berusaha segala yang terdaya untuk memastikan semua pelajar Melayu di sini tidak menjadi seperti Sufiah.

Saya akui ramai lagi kes macam Sufiah di Malaysia, tapi di Malaysia ramai orang Islam, ada jabatan agama Islam, ada kerajaan Islam dan ada negara Islam. Saya yakin kerajaan boleh buat sesuatu.

Namun keluarga Sufiah di sini (UK) diserang dari segenap penjuru dengan pelbagai sindiran dan tohmahan. Mereka bersendirian menghadapinya, oleh itu kami datang untuk membantunya.

Permintaan saya bagi pihak Pisang, doakan kami dan doakan Sufiah. Buatlah solat hajat, tak berdosa kalau kita berusaha menolongnya. Jangan pemalas dan usah sombong. Sekian, terima kasih.”

ANALISIS

Adakah anda rasa anda percaya dengan laporan yang disiarkan di akhbar Metro Ahad di atas? Bagi orang biasa, boleh jadi percaya, boleh jadi tidak percaya. Tetapi bagi mereka yang memang membuat kajian mengenai isu Barat terhadap Islam, berita itu ada kebenarannya.

Ia berkaitan dengan agenda Barat yang mana didokongi golongan neo-imperialis (Yahudi) yang mahukan pengaruh Islam dilenyapkan di muka bumi ini. Hanya Islam sahaja yang boleh menghalang agenda mereka untuk berkuasa di seluruh muka bumi ini.

Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam, mesti disekat pengaruhnya. Perhatikan laporan akhbar di atas: ... Semuanya bagai dirancang dan diatur. .......

Perenggan lain: ... mana ada pelacur bangga dengan kerjanya dan ditemuramah pula dalam TV.

Di UK punyalah ada banyak pelacur dan ramai juga yang lebih cantik daripada Sufiah, tapi kenapa mereka tawar Sufiah beribu-ribu pound untuk ditemuramah? Apa sebabnya? Bagi saya, sebab Sufiah orang Islam dan keluarganya juga Islam.

Kita perlu sedar, musuh Islam memang suka tengok orang Islam jadi pelacur dan pengganas. Kalau boleh, orang Islam yang genius semua mereka nak jadikan pelacur.

Tidak syak lagi bahawa Sufiah memang menjadi mangsa agenda Barat untuk mencalarkan imej umat Islam. Bagaimana boleh terjadi? Senang sahaja. Tanyalah mereka yang pakar dalam bidang perisikan (intelligent).

Sebenarnya hendak memusnahkan individu-individu Islam bukannya susah sangat. Ia melibatkan perancangan yang diatur oleh masyarakat perisikan Barat. Orang Barat memang pakar dalam hal ini.

Dalam kes Sufiah, tidakkah kita tahu di mana tempat dia belajar? Bukankah di Oxford! Apa kaitan dengan Oxford? Apa ada pada Oxford? Saya pernah bertanya soalan ini kepada seseorang yang memang arif dalam bidang perisikan.

Oxford sering dikaitkan dengan tempat strategik ataupun sarang bagi aset-aset (ejen-ejen perisikan) terutamanya ejen perisikan British. Tempat ini bukan menjadi rahsia bagi masyarakat perisikan di seluruh dunia.

Untuk memusnahkan seseorang individu bukanlah sukar. Ejen risikan mempunyai kepakaran dengan menggunakan strategi halus untuk mempengaruhi seseorang individu untuk bertindak di luar jangkaan fikirannya.

Saya pernah terbaca dalam sebuah buku yang menyatakan, untuk memusnahkan Islam, seseorang itu haruslah mempelajari dan memahami mengenai Islam, cara hidup, budaya dan sebagainya dan kemudian barulah dia bertindak untuk memesongkan akidah secara halus tanpa disedari. Hanya mereka yang terlatih dalam bidang risikan mampu melakukan tugas sulit ini.

Tak perlu ulas panjang lebar mengenai hal ini. Yang penting, siapa yang tahu, dialah yang memahami ulasan ini.